BAHASA MELAYU

Salam Sejahtera,


Seni digital merupakan satu cabang seni yang mungkin tidak terlalu baru di Malaysia,tetapi ianya merupakan satu perkara baru buat saya kerana penglibatan saya dalam bidang ini bermula sejak beberapa tahun lalu. Penglibatan ini adalah secara tidak lansung. Ini kerana bidang seni ini tidak begitu popular di Malaysia mungkin disebabkan kurangnya pengaruh atau kurangnya pelukis-pelukis digital. Mungkin pengamatan saya ini silap. Tetapi setelah saya mencari di laman-laman web, yang saya temui hanyalah seni grafik biasa yang telah dipopularkan sejak tahun 1990 an lagi.


Apakah bezanya seni digital dengan seni grafik?


Saya tidak merujuk wiki. Melalui penilaian dan komunikasi lansung bersama artis digital luar, seni digital merupakan satu medium bagi artis untuk melaksanakan karya mereka di atas kanvas digital. Memang diakui tidak jauh bezanya dengan seni grafik, tetapi kebanyakan seni digital pada hari ini tidak dijalankan suntingan menggunakan Photoshop atau lain-lain aplikasi. Ini adalah kerana, seni digital yang sedia ada pada hari ini sudah tersedia dengan perkakasan kesan khas. Kebanyakan artis digital pada hari ini lebih gemar melukis /mewarna secara lansung keatas kanvas digital bagi mengekalkan keaslian catan.Kebanyakan kanvas digital yang sangat popular pada hari antaranya adalah melalui Sumo Paint, Facebook Graffiti dan Painter. Saya hanya membincangkan aplikasi tersebut kerana saya menggunakannya. Applikasi tersebut juga digunakan secara online.


Saya akui saya hanya berada diperingkat amatur. Tetapi disini saya hanya ingin berkongsi keistimewaan seni digital ini. Memang agak banyak media seni digital yang lain, tetapi disini saya ingin memberi fokus kepada aplikasi yang saya nyatakan di atas.Ini adalah kerana, tanpa suntingan khas, lukisan yang dijalankan keatas kanvas ini mampu memberikan kesan diluar jangkaan kita.


Secara amnya, Sumo Paint tidak jauh bezanya dengan mana-mana perisian Photoshop. Ini adalah kerana, artis boleh memuat naik photo atau lukisan sedia ada untuk diubahsuai. Ia hanya memberi kemahiran suntingan keatas karya sendiri mahupun orang lain. Namun begitu, ada juga artis yang melakukan catan digital secara terus ke atas kanvas.


Berbeza menggunakan Facebook Graffiti dan Painter. Artis tidak boleh melakukan suntingan ke atas karya. Ianya umpama sehelai kanvas yang hanya boleh dilukis/dicat. Ini memberikan cabaran serta kemahiran bagi seseorang artis untuk berkarya.


Apakah peralatan bagi menjalankan lukisan digital?


Peralatan yang biasa saya gunakan hanyalan komputer riba dan tetikus(mouse). Sesetangah artis gemar menggunakan perkakasan lukisan digital (drawing/pen pad). Ianya biasa dijual diantara RM200-RM 1,000.Bagi saya, saya lebih selesa menggunakan tetikus.Cuma saya memastikan  bahawa "mousepad" yang saya gunakan adalah sedikit kasar permukaannya bagi memudahkan "mouse" itu berhenti dan tidak tersasar.


Bagi artis bebas atau yang baru ingin mencuba saya menggalakkan menggunakan medium di atas. Terpulang kepada individu untuk menggunakan mana-mana medium lain, tetapi di sini medium yang saya nyatakan tadi mampu memberi kepuasan dalam berkarya serta memberi cabaran. Bukan itu sahaja, adakala karya yang telah siap hampir sama dengan fotografi. Ini adalah sesuatu diluar jangkauan saya.